Ahad, 1 Julai 2012

SENAMAN MUDAH LAGI CERGAS !

Berjalan kaki merupakan satu bentuk senaman mudah untuk dilakukan sama ada anda sedar atau tidak. Contoh yang paling mudah ialah meletakkan kenderaan anda di tempat jauh sedikit daripada tempat yang anda biasa letak. Kemudian, berjalanlah sedikit dan elakkan menggunakan lif. Sebaliknya gunakan tangga semampu yang anda boleh. Aktiviti berjalan kaki ini sebenarnya lebih menyeronokkan apabila ia turut dilakukan bersama rakan, pasangan mahupun keluarga. Jangan memandang remeh aktiviti jalan kaki kerana banyak manfaat yang anda peroleh melaluinya.

        Pada dasarnya, aktiviti fizikal seperti ini yang dilakukan secara berterusan dan dalam tempoh yang panjang membantu melatih tahap seseorang. Selain daripada itu, oksigen yang disedut dan dihembus akan melancarkan peredaran darah. Sebagai impaknya, tubuh tidak mudah merasa penat, sebaliknya segera mengembalikan tubuh pada keadaan yang normal di samping mengurangkan tekanan.

Jalan kaki dan Diet


        Berjalan kaki turut membakar kalori dalam jumlah yang cukup besar. Wanita yang berusia 40 an dan ke atas yang berjalan kaki dengan kecepatan sekurang-kurangnya 70 langkah seminit selama 30 minit dapat membakar kalori sehingga 79 kcal. Sebaliknya, bagi lelaki berusia 40 an dan ke atas yang melakukan perbuatan yang sama hanya membakar kalori sebanyak 64 kcal.

Jalan kaki dan Diabetes


        Kajian menunjukkan bahawa berjalan kaki selama 30 minit untuk lima kali seminggu sambil anda menjaga pola pemakanan yang sihat membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetes sehingga 50 peratus.Waktu yang baik untuk pesakit kencing manis melakukan aktiviti berjalan kaki adalah sekitar satu hingga dua jam selepas makan serta insulin dan kadar gula dalam darah mulai stabil.

Jalan kaki dan Jantung


         Tahukah anda bahawa jalan kaki sebenarnya dapat menyihatkan jantung anda. Ini kerana dengan cara berjalan kaki secara teratur membantu menurunkan risiko tekanan darah tinggi yang merupakan salah satu faktor pencetus kepada penyakit jantung.

Jalan kaki dan kesakitan di bahagian punggung


         Bagi mereka yang mengalami sakit di bahagian punggung disarankan supaya melakukan senaman ringan seperti aerobik. Namun ada segelintir yang tidak dapat mengatasi masalah ini walaupun melakukan senaman ringan. Sebagai alternatif, gantikan senaman ringan dengan berjalan kaki. Berjalan kaki dapat mengurangkan sakit dan lenguh-lenguh di bahagian pinggang mahupun punggung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan